Q&A Berkaitan Prosedur Pendaftaran Nikah Luar Negara 2019


Q1: Apakah maksud pernikahan luar negara?
A: Pernikahan luar negara bermaksud sebarang urusan pernikahan yang dijalankan di luar negara dengan menggunakan khidmat jurunikah di negara tersebut. Kebanyakan rakyat Malaysia melangsungkan pernikahan di Thailand atas beberapa faktor tertentu.
Q2: Adakah semua pernikahan luar negara perlu didaftar di Malaysia?
A: Ya. Semua pernikahan yang dijalankan di luar negara mesti didaftarkan di mana-mana pejabat agama yang berdekatan dengan alamat tempat tinggal pemohon.
Q3: Mengapa pernikahan luar negara tersebut perlu didaftarkan di Malaysia?
A: Pertama, perlu difahami oleh semua masyarakat bahawa tidak semua pernikahan di luar negara tersebut sah mengikut hukum syarak. Lebih-lebih lagi bagi pernikahan yang menggunakan khidmat sindiket. Oleh itu, semua pasangan yang bernikah di luar negara mesti membuat pengesahan nikah dahulu di mahkamah syariah bagi menentukan nikah tersebut adalah sah mengikut hukum syarak.
Q4: Apakah yang akan berlaku setelah mahkamah mengesahkan pernikahan tersebut sah mengikut hukum syarak?
A: Setelah mahkamah mengesahkan nikah tersebut sah, maka satu perintah akan dikeluarkan oleh mahkamah dan pesangan perlu mendaftarkan nikah di pejabat agama bagi mendapatkan surat nikah Malaysia.
Q5: Apa akan berlaku sekiranya pernikahan tersebut TIDAK SAH mengikut hukum syarak?
A: Sekiranya pernikahan tersebut tidak sah, maka perkahwinan tersebut mesti difaraqkan. Setelah itu, pasangan tersebut perlu melakukan akad nikah baharu sekiranya masih mahu bersama sebagai suami isteri yang sah.
Q6 : Apakah sebab/punca pernikahan tersebut tidak sah?
A: Kebiasaannya sesebuah pernikahan tersebut tidak sah kerana tidak menggunakan wali hakim yang dilantik oleh pemerintah. Kes seperti ini selalu berlaku kepada pernikahan yang menggunakan khidmat sindiket di mana mereka menggunakan wali yang tidak bertauliah.
Q7: Apakah kesan sekiranya pasangan tidak mendaftarkan pernikahan di Malaysia?
A: Terdapat pelbagai kesan yang akan timbul susulan kegagalan pasangan yang berkahwin di luar negara mendaftarkan pernikahan mereka khususnya di Selatan Thailand antaranya:
i.     Tiada sebarang rekod pernikahan di mana-mana pejabat agama Islam di malaysia.
ii.   Menyukarkan membuat sijil kelahiran anak di Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia kerana tidak mempunyai sijil nikah Malaysia.
iii. Menyukarkan proses pendaftaran persekolahan anak kerana setiap pendaftaran tahun 1 perlu kepada sijil nikah ibu bapa.
iv.  Menyukarkan proses sebarang tuntutan di mahkamah bersabit dengan urusan pernikahan, penceraian atau tuntutan harta kerana tidak mempunyai sijil nikah Malaysia.
v.   Isteri digantung tidak bertali tetapi tidak boleh menuntut haknya di Mahkamah Syariah.
vi.    Anak-anak tidak mempunyai Sijil Lahir seperti dilaporkan di media saban hari, akibatnya anak-anak tersebut terjebak dengan masalah sosial kerana lantaran tidak boleh bersekolah di sekolah aliran perdana.
Q8: Bagaimana mahu mendaftarkan pernikahan tersebut mengikut prosedur di Malaysia?
A: Prosedurnya seperti berikut (Contoh bagi pernikahan di Wilayah Songkhla, Thailand):
i. Selesai pernikahan di Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla di Thailand, pasangan akan menerima Sijil Nikah dan Surat Pengesahan Nikah dari Majlis Agama Islam Wilayah tersebut. Surat ini kemudiannya akan dibawa ke Konsulat Malaysia di Songkhla untuk tujuan pengesahan bahawa nikah yang dilakukan adalah sah dan diiktiraf Malaysia. (Mendapat pengesahan Konsulat bukan bermaksud maklumat pernikahan telah diketahui oleh Jabatan Agama Islam di Malaysia. Maklumat pernikahan di Thailand tidak akan direkod di Malaysia selagi tidak melakukan pendaftaran semula di Jabatan Agama Islam Negeri di Malaysia.)
ii. Setelah meneliti dokumen dan berpuashati, pihak Konsulat akan mengeluarkan Surat Pengesahan. Berhati-hati dengan Surat Pengesahan Konsulat Palsu kerana terdapat kes di mana pihak sindiket memalsukan surat pengesahan tersebut.
iii. Bawa semua dokumen tersebut ke Pejabat Agama Islam Daerah di negeri pasangan bermastautin bagi tujuan semakan dokumen dan soal selidik dijalankan. Kemudian, pejabat agama akan keluarkan surat iringan ke Mahkamah Syariah dan Bahagian Penguatkuasaan.
iv. Pemohon menghantar surat iringan ke Bahagian Penguatkuasaan untuk membuka kes perkahwinan berlawanan Akta.
v. Pemohon menghantar surat iringan ke Mahkamah Syariah di daerah berkenaan untuk mendapat pengesahan pernikahan dan perintah daftar pernikahan.
vi. Setelah mendapat perintah daftar daripada Mahkamah Syariah Daerah, pasangan hendaklah hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah semula untuk proses pendaftaran nikah dan pengeluaran sijil nikah.
Q9: Apakah itu Proses 4P yang dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)?
A:  Proses 4P bermaksud Perintah Pengesahan Pendaftaran Perkahwinan.
Q10: Apakah tujuan proses ini diwujudkan?
A: Proses 4P ini memberi peluang kepada mana-mana pasangan yang telah berkahwin atau berpoligami tetapi tidak mematuhi Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) untuk membuat pendaftaran perkahwinan mereka di JAWI.
 Q11: Apakah syarat-syarat permohonan 4P tersebut?
A: Syarat-syarat permohonan 4P adalah seperti berikut:
a) Pemohon bermastautin di Wilayah – Wilayah Persekutuan semasa perkahwinan dijalankan.
b) Perkahwinan yang belum didaftarkan dimana-mana Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di Malaysia.
c) Perkahwinan yang berlaku selepas 28 Jun 1984 iaitu selepas tarikh kuatkuasa Akta Undang–undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303).
d) Perkahwinan berlawanan dengan Akta Undang–Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) seperti;
i. Perkahwinan tanpa kebenaran mana–mana Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN)
ii. Poligami tanpa kebenaran Mahkamah Syariah 
iii. Perkahwinan yang berlaku di Luar Negara dan tidak didaftarkan selepas tempoh 6 bulan daripada tarikh perkahwinan.
Q12 : Apa yang perlu dibawa untuk pendaftaran perkahwinan melalui Proses 4P di JAWI?
A: Dokumen yang perlu dilampirkan:
i. Kad Pengenalan suami dan isteri.
ii. Muka surat hadapan pasport suami dan isteri beserta tarikh keluar masuk kenegara berkenaan untuk tujuan perkahwinan itu.
v. Surat Perakuan Nikah Luar Negara.
vi. Surat makluman perkahwinan dari Kedutaan /Konsulat Malaysia di negara di mana akad nikah dijalankan.
Q13 : Jika salah seorang pasangan telah meninggal dunia atau hilang tanpa berita, adakah masih boleh didaftarkan perkahwinan di luar negara dahulu yang masih belum didaftarkan?
A: Boleh. Jika salah satu pasangan telah meninggal dunia atau hilang tanpa berita, pasangan yang satu lagi boleh mendaftarkan pernikahan secara sebelah pihak asalkan semua dokumen berkaitan ada bersamanya.
Q14 : Jika Pasangan telah bercerai sebelum didaftarkan serta mempunyai anak, adakah masih boleh didaftarkan perkahwinan di luar negara dahulu yang masih belum didaftarkan?
A: Boleh. Pasangan tersebut mesti membuat pengesahan nikah terlebih dahulu di mahkamah syariah. Sekiranya, perkahwinan tersebut sah, maka pasangan perlu mendaftarkan terlebih dahulu di Pejabat Agama Daerah. Setelah itu, barulah pasangan tersebut boleh membuat pengesahan penceraian di mahkamah. Sekiranya disahkan bercerai, pasangan tersebut mesti mendaftarkan penceraian tersebut di pejabat agama untuk mendapatkan SURAT CERAI.
Q15 : Bagaimana dengan insiatif oleh Jabatan Agama negeri-negeri lain selain Wilayah Persekutuan?
A : Bagi negeri Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menganjurkan Program ‘Jom Daftar Nikah’ yang bermula sejak 1 Ogos hingga 1 November 2017. Program ini bertujuan membantu pasangan yang berkahwin di luar negara tetapi belum mendaftarkan pernikahan mendapatkan surat nikah dalam tempoh tiga bulan. Manakala bagi negeri-negeri lain, setakat ini tiada dijumpai maklumat kempen seperti yang dianjurkan oleh JAWI & JAIS.
SEKIRANYA ANDA MEMPUNYAI ISU SEPERTI YANG DICATATKAN DI ATAS, BOLEHLAH MENGHUBUNGI PIHAK KAMI UNTUK URUSAN PENDAFTARAN NIKAH LUAR NEGARA ANDA.
HUBUNGI KAMI DI 01115635878



Popular posts from this blog

PROSES NIKAH DI THAILAND DAN DAFTAR NIKAH DI MALAYSIA

Mendaftar Perkahwinan Selepas bernikah di Thailand